Saturday, 18 October 2014

Si Cawan Kosong.. 0000

Bismillah. Segala puji bagi Tuhan kerana aku dapat lagi hidup hari ini.

CAWAN KOSONG. Tak best pun bunyinya. Ape ade kat cawan kosong.? Kenapa aku pilih nama cawan kosong? Dah tak de nama lain ke..? macam mana aku boleh terfikir tentang cawan kosong? Dan apa objektif cawan kosong ni diwujudkan.?

Cawan dari segi bahasa adalah bekas yang boleh memegang cecair supaya dapat diminum. Kosong pula ada dua makna iaitu yang pertama tidak berisi apa-apa atau yang kedua maknanya adalah nombor sifar. Kombinasi cawan dan kosong akan melahirkan makna bekas minuman yang tiada air di dalamnya. Ini kalau diambil makna secara literal atau yang tersurat. Untuk makna

yang tersirat cawan kosong memberikan makna yang amat tepat bagi seorang penuntut ilmu dan orang yang dahagakan nasihat seperti aku. Mungkin kisah yang aku nak ceritakan ini semua orang tahu, tapi bagi menjelaskan lagi apa yang aku maksudkan dengan cawan kosong, eloklah aku mengimbas kembali pengajaran yang boleh diambil dari situasi ini. Aku ubah sedikit penceritaan agar lebih mudah untuk diterima akal. Kalau lagi susah nak faham, maafkanlah aku ye.


Kisahnya bermula apabila ada seorang budak berusia 14 tahun berhajat untuk mendalami ilmu untuk dijadikan penyuluh dalam kehidupannya. Jadi budak yang bernama Faiz itu pun bertekad untuk berjumpa dengan seorang guru tua yang tinggal di Bandar Reflesia. Bandar itu terletak jauh daripada Bandar yang didiami Faiz. Dia perlu mengharungi bukit bukau, tanah berpaya, hutan tebal, sungai yang dalam dan rimbunan buluh tajam sebelum dapat sampai ke Bandar tersebut. Dia perlu mengelakkan diri daripada dimakan binatang buas yang sedia menunggu mangsanya di sepanjang perjalanan tersebut.

Begitulah yang diceritakan oleh para pedagang Bandar Reflesia yang Berjaya sampai ke bandar yang didiami Faiz iaitu Bandar Perindu. Namun hal yang demikian itu tidak langsung mengganggu fikiran faiz kerana fokus utamanya adalah menuntut ilmu dengan Sang Tua yang tinggal disana. Perkara-perkara yang diceritakan tersebut semakin menjadi pembakar semangat kepada Faiz. Hal ini kerana, Faiz telah mendapat khabar bahawa Sang Tua yang tinggal di Reflesia adalah seorang yang sangat berilmu. Ilmu yang ada didadanya mampu menerangi setiap pelusuk jalan dan menghilangkan kegelapan di Bandar tersebut.

Setelah bersiap dari segi mental dan fizikalnya, Faiz berbekalkan kesungguhan dan ketekalan telah memulakan langkahnya meninggalkan kampung halaman dengan harapan tinggi yang diletakkan oleh semua jiran tetangganya. Ibunya telah merestui perjalanan yang ingin dilaluinya. Ibu serta seluruh penduduk di kawasan kejiranan Faiz berdoa atas keselamatannya pergi dan pulangnya.

Faiz berjaya mengharungi segala ujian dan dugaan yang mendatang di sepanjang perjalanan tersebut. Sesampai di Bandar Reflesia dia berasa sangat terkejut dengan pembangunan dan kemajuan yang dicapai oleh penduduk Bandar tersebut. Dia berasa sungguh hairan dan takjub dengan situasi itu. Faiz kemudian berhajat untuk bertanya kepada seorang lelaki yang mengendalikan sebuah alat untuk mengambil air di sungai dan kemudiannya disalirkan ke kawasan tanaman yang terletak hampir 5 kilometer dari sungai tersebut. Alat itu sekadar memerlukan seorang pemantau bagi memastikan alat tersebut dapat berfungsi dengan baik. Di kampungnya, mereka masih menggunakan tenaga kerbau dan kuda untuk mengairi tanaman yang jauh dari sumber air. Ia melibatkan penggunaan banyak tenaga kerja, manusia dan juga binatang ternakan.

Faiz bertanya, “wahai tuan yang saya kasihi, sungguh hebat ciptaan kamu. Kamu dapat membantu meringankan kerja penduduk disini dan memudahkan kehidupan seharian mereka,”. Lelaki itu menjawab, “wahai anak muda, janganlah engkau berkata demikian. Ilmu yang ada pada diriku amat sedikit jika ingin dibandingkan dengan Sang Tua yang mengajar ilmu ini kepadaku. Aku hanya manusia yang amat kurang ilmunya. Perglah engkau menuntut dengan Sang Tua itu. Semoga lebih banyak ilmu yang engkau akan pelajari berbanding diriku ini.” Ini menambahkan lagi keyakinannya untuk berlajar dengan Sang Tua.

Akhirnya Faiz sampai kerumah Sang Tua. Faiz disambut dengan hidangan yang lazat dan majlis yang sedikit meriah kerana Sang Tua adalah orang yang kaya dan jutawan. Dalam majlis itu, terdapat satu adat iaitu penuntut baru akan diberikan hadiah oleh Sang Tua kerana kesungguhannya mengharungi dugaan untuk menuntut ilmu dengan Sang Tua.

Setiap orang akan mendapat hadiah yang berbeza berdasarkan penilaian yang dilakukan oleh Sang Tua. Faiz telah dihadiahkan dengan sebuah cawan kosong beserta tutup yang sangat cantik ukiran dan bentuknya. Ketika menerima hadiah tersebut, Sang Tua telah berbisik kepadanya, “Wahai anakku, pelihara dan jagalah cawan ini dengan sebaiknya. Bawalah ia kemana sahaja. Anggaplah cawan ini sebagai dirimu. Satukanlah dengan jiwamu. Semoga dirimu akan menjadi secantik ukiran cawan ini.” Faiz berterima kasih kepada Sang Tua atas pemberian tersebut.

Bermulalah kehidupan Faiz sebagai penuntut di Akademi Sang Tua. Faiz belajar bersungguh-sungguh. Dia menerima segala tunjuk ajar dan nasihat yang diberikan Sang Tua. Setiap kata akan dihadamkan dan diamalkan Faiz dalam kehidupan sehariannya.

Setelah 4 tahun belajar di situ, Faiz telah diijazahkan ilmu oleh Sang Tua. Faiz telah menamatkan pembelajaran di akademi Sang Tua dengan jayanya. Dia menjadi diantara pelajar terbaik yang pernah dilahirkan di akademi tersebut. Ketika menerima ijazah dari Sang Tua, Sang Tua telah berbisik kepada Faiz, “Wahai anak didikku yang paling aku kasihi, pembelajaranmu belum tamat disini. Kamu memerlukan satu lagi ilmu yang dengannya kamu dapat memelihara kamu dan orang disekeliling kamu dari kesesatan. Pergilah ke rumah hujung Bandar ini dan tuntutlah ilmu dari Si Tepok disana.”

Faiz terkejut dan sedikit tersentak dengan arahan yang dikeluarkan oleh guru yang dicintainya itu. Namun dia tidak menunjukkan sebarang reaksi keterlaluan di hadapan gurunya. Hanya raut wajahnya sedikit mencerminkan kemusykilan dari arahan tersebut. Walaupun demikian Sang Tua yang telah bertahun mengajar Faiz sedar tentang perubahan yang dialami anak muridnya itu tetapi dia sekadar membiarkan sahaja dan tidak mengendahkan situasi tersebut. Dia yakin arahannya itu pasti akan dilaksanakan oleh Faiz dan dia juga pasti ilmu yang akan disampaikan oleh Si Tepok kelak bakal merungkai segala kekusutan yang dialami anak muridnya itu.

Keesokan harinya Faiz keluar dari akademi tersebut dan melangkah perlahan ke rumah Si Tepok. Walaupun tidak berpuashati, dia tetap jua menurutkan kata-kata Sang Tua. Dalam perjalanan itu jiwanya dirundung resah dan pada masa yang difikirannya melayang beribu persoalan. “Mengapa aku perlu menuntut ilmu dengan Si Tepok”, “bukankah Si Tepok ini dikatakan gila oleh masyarakat dan sebab itulah dia di pinggir dan disisihkan masyarakat”, “aku dah 4 tahun belajar tak kanlah tidak cukup lagi ilmuku ini?” dan pelbagai lagi persoalan yang merendahkan serta mempersoalkan ilmu yang perlu dituntut daripada Si Tepok. Dia berasa bangga dengan dirinya.

Si Tepok tinggal di sebuah dusun yang sangat luas. Dusun itu terletak jauh dari sumber air sungai dan laut. Namun demikian dusun itu tetap dipenuhi dengan pelbagai jenis pokok buah-buahan subur. Rambutan, pisang, tembikai, kelapa, limau, kurma, strawberi, ceri, duku, langsat, zaitun, tin, cermai, mata kucing, pir, jambu, keranji, cempedak, nenas, epal, anggur, naga, lemon dan macam-macam lagi. Di dusun itu juga terdapat sebuah kolam yang jernih airnya. Putih, sejuk, segar dan menyegarkan. Ada juga air terjun yang mengalir indah dan pokok bunga yang menghias segenap pelusuk dusun tersebut. Dusun itu amat bersih walau tiada penjaganya kelihatan disitu.

 Di tengah dusun itu terdapat sebuah bukit kecil yang agak pelik bentuknya. Mempunyai permukaan yang agak rata, tiada sebarang pokok besar yang dilihat tumbuh di situ. Yang ada hanyalah rumput hijau memenuhi setiap inci permukaan bukit pelik itu. Di atas bukit pelik itulah terletaknya sebuah pondok kecil yang berdindingkan buluh dan beratapkan daun rumbia. Amat uzur sekali kelihatannya. Inilah tempat tinggalnya Si Tepok seorang diri. Keadaan dirinya sama seperti pondok yang dibina dengan tangannya sendiri itu.

Setibanya Faiz ke pondok tersebut, dia memberi salam dan meminta izin untuk masuk ke dalam. Si Tepok sudah tahu tentang kehadiran Faiz. Dia lalu menjemput Faiz masuk. Setelah memperkenalkan diri serba sedikit kepada Si Tepok, dia pun terus memberitahu bisikan Sang Tua kepadanya semalam. Tidak sedikit pun terlintas di jiwanya untuk menghargai Si Tepok sepertimana dia menghargai Sang Tua. Si Tua tidak terus membalas. Dia meminta Faiz mengeluarkan cawan yang dibawanya. Faiz terpegun bagaimana Si Tepok tahu tentang cawan tersebut. Namun dia hanya membiarkan pertanyaan itu hilang begitu sahaja. Tidak diendahkan. Mungkin Si Tepok sekadar meneka tentang cawan tersebut. Diberinya cawan itu.

Si Tepok mengambil cawan tersebut dan melihat kedalamnya. Lalu dia meletakkan cawan itu diatas meja buluh dihadapan Faiz. “izinkan aku menyediakan air untukumu”. Faiz mengangguk. Agak jauh juga perjalanannya tadi. Dia membiarkan Si Tepok ke bahagian dapur yang dipisahkan dengan sebuah pintu yang diperbuat dari daun nipah. Agak teliti tenunan daun tersebut.

Si tua kembali dengan sebuah teko kecil ditangannya. Dia meletakkan teko itu bersebelahan dengan cawan milik Faiz. Dia duduk berhadapan Faiz lantas bertanya kepada, “Sebelum ini pernahkah kau melihat apa yang ada di dalam cawan ini wahai anakku.?”.
 Faiz menjawab, “ Pernah”. “Kosong”, sambungnya lagi.

“Apakah engkau ingin melihat keadaan di dalam cawan ini sekarang? Apakah kau tahu apa yang ada didalamnya sekarang?”

“Tidak? Sudah 4 tahun aku menyimpan cawan ini. Kali terakhir aku melihatnya adalah semalam, sebelum aku diijazahkan ilmu oleh Sang Tua. Dan aku pasti di dalamnya tiada apa-apa.”jawab Faiz dalam nada suara yang menjengkelkan.

“Engkau silap orang muda. Cawan ini sudah penuh.” Si Tepok membuka penutup cawan tersebut. 

“Lihat. Tiada ruang lagi bagi aku untuk mengisikan air dari teko ini kedalam cawan kamu. Jika aku isi juga sudah pasti air tersebut akan mengalir tumpah dari cawan ini.” Kata Si Tepok sambil menutup kembali cawan tersebut.

Faiz begitu terkejut dengan apa yang dilihat dihadapan matanya itu. Baru sahaja dia memeriksa cawan itu Subuh semalam. Kosong. Tetapi sekarang cawan itu sudah penuh. Si Tepok belum lagi mengisikan cawan tersebut. Faiz berasa amat pelik.

Si tepok lantas berkata, “Wahai anak muda, bukankah engkau telah diarahkan untuk menjadikan cawan ini sebahagian dari dirimu oleh Sang Tua?” Faiz mengangguk lemah. “Benar”, katanya di dalam hati namun tidak dapat dikeluarkan dari kotak suaranya.

“Inilah dirimu sekarang. Sudah penuh. Bagaimana aku ingin menuangkan ilmuku kepadamu andai kamu merasakan diri kamu sudah penuh. Sudah cukup hebat dan tidak perlukan lagi ilmu dan nasihat daripada orang lain. Berbangga dengan ilmumu yang sedikit. Tidakkah kau tahu lebih ramai lagi orang yang lebih hebat ilmunya daripada diri kamu diluar sana?” kata-kata itu dituturkan lembut tetapi jelas menembusi terus ke dalam hati Faiz.

“Maafkan aku wahai guru. Aku memandang rendah terhadap dirimu kerana aku merasakan aku lebih baik daripada dirimu.”

“Faiz, bukalah hatimu untuk menerima teguran, nasihat dan ilmu daripada orang lain. Walau betapa tinggi ilmu kita, kadang-kadang kita tergelincir juga dalam perkara-perkara yang tidak sepatutnya. Kita tidak sedar, tetapi orang disekeling kita akan menyedarinya. Maka berlapang dadalah. Buang sifat sombong dan takbur yang bersarang di dalam dirimu. Yang memenuhi cawan hatimu. Andai cawan itu kosong barulah akan ada ilmu yang boleh memenuhinya.”



Baiklah sampai di sini sahaja cerita berkaitan CAWAN KOSONG. Kalau tak faham jugak bolehlah pergi ke dapur, ambil cawan da nisi air di dalam nya sampai penuh. Selepas itu teruskan lagi menambah air ke dalam cawan itu. Kita dapat lihat air akan melimpah keluar dan tidak lagi memberi manfaat kepada cawan tersebut.


Maknanya disini, aku mengumpamakan diri aku sebagai cawan kosong. Tiada ilmu. Hina di sisi manusia dan Tuhanku. Dan berharap akan ada orang yang sudi memberi ilmu, nasihat dan teguran ke atas diriku ini. Supaya aku dapat menjadi orang yang lebih baik dimasa akan datang. Supaya aku dapat memperbaiki kesilapan dan kekurangan yang ada samada yang aku nampak atau tidak nampak. Inilah dia kisah SI CAWAN KOSONG.

Sabtu
19 Oktober 2014

No comments:

Post a Comment